Adab terhadap Ibubapa~

hari tu kne cari info psl hadis ibu bapa utk usrah….

so, nk share skali la ye…

(anis amik part yg berkaitan dgn isu semasa yg makin menjadi2 dlm masyarakat kita~)

HADIS : ADAB TERHADAP IBU BAPA

Pertama: Keredhaan Allah Terletak Pada Keredhaan Ibubapa.

Rasullullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“ Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa “

Hadis ini membenarkan apa yang disebut sebelum ini, bahawa hubungan seorang anak dengan ibubapanya memiliki kaitan dengan hubungannya kepada Allah. Jika seorang anak berbuat baik kepada kedua ibubapanya sehingga mereka redha kepadanya, maka Allah juga redha kepada anak tersebut. Akan tetapi jika seorang anak tidak berbuat baik sehingga menimbulkan kemurkaan ibubapanya, maka Allah juga murka kepadanya.

Walaubagaimanapun hendaklah diperhatikan bahawa apa yang meredhakan ibubapa tidak mengakibatkan kemurkaan Allah. Maksud saya, jangan melakukan sesuatu yang merupakan maksiat kepada Allah dalam rangka berbuat baik kepada ibubapa. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengingatkan:

Menjadi kewajipan seorang muslim untuk mendengar dan taat dalam perkara yang disukai mahupun yang dibenci selagi mana ia tidak melibatkan maksiat. Maka jika disuruh untuk melakukan maksiat maka tidak perlu mendengar dan tidak perlu mentaatinya.

Di samping tidak boleh berbuat baik kepada ibubapa dalam hal-hal yang merupakan maksiat kepada Allah, kita juga tidak boleh berbuat baik kepada ibubapa dalam hal-hal yang merupakan maksiat kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Baginda berpesan:

Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah aku lebih dicintainya berbanding ibubapanya, anaknya dan manusia seluruhnya.

Cinta kepada Rasulullah, sebagaimana yang dimaksudkan oleh hadis di atas, bukanlah sekadar perasaan di hati tetapi adalah dengan pembuktian praktikal, seperti mentaati perintah larangan baginda, mengikuti sunnahnya dan membenci bid‘ah yang merosak dan mencemari sunnah tersebut.

Oleh itu tuntutan berbuat baik kepada ibubapa haruslah selari dengan petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah, iaitu syari‘at Islam. Justeru seandainya ibubapa menyuruh kita membelikan mereka minuman keras atau membantunya membuat acara kemungkaran seperti pesta (party) di rumah, kita tidak perlu mentaatinya.

Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka danpohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat) maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya. [Ali Imran 3:159]

Berdasarkan hadis-hadis yang dikemukakan di atas, dapat dirumuskan bahawa sebelum seseorang itu membuat apa-apa keputusan, hendaklah diperhatikan bahawa keputusan tersebut menepati dua syarat berikut:

  1. Ia selari dengan syari‘at Islam.
  2. Ia diredhai oleh ibubapanya.

Seandainya wujud pertentangan antara dua syarat tersebut, hendaklah dicari jalan untuk menghilangkan pertentangan tersebut.

Pengajaran lain yang tidak kurang pentingnya daripada hadis di atas, yakni sabda Rasulullah yang bermaksud:“Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa”, ialah jika kita mengalami kehidupan yang sempit lagi serba tak menjadi, hendaklah diperhatikan hubungan kita dengan ibubapa. Ini kerana seorang anak yang berada di bawah keredhaan ibubapanya, kehidupannya akan menjadi lapang lagi mudah hasil daripada keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepadanya. Sebaliknya seorang anak yang berada di bawah kemurkaan ibubapanya, kehidupannya akan menjadi sempit dan serba tak menjadi, disebabkan kemurkaan Allah kepadanya.

Kedua: Derhaka Kepada Ibubapa Termasuk Dosa Besar.

Abi Bakrah radhiallahu ‘anh berkata, Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bertanya tiga kali:

“Mahukah aku memberitahu kalian tentang dosa yang paling besar?”

Mereka (para sahabat) menjawab: “Sudah tentu wahai Rasulullah!”

Baginda menjelaskan: Syirik kepada Allah, derhaka kepada ibubapa (perawi menerangkan, bahawa baginda ketika itu duduk sambil bersandar, lalu menyambung) dan sumpah yang palsu.

Derhaka kepada ibu adalah lebih berat dosanya, berdasarkan sebuah hadis lain dimana Rasulullahshallallahu ‘alaihi wasallam mengkhususkan larangan berbuat derhaka kepada seorang ibu:

Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas kalian berbuat derhaka kepada ibu, meminta sesuatu yang bukan haknya dan menanam bayi perempuan hidup-hidup. Dan (Allah) membenci kalian menyebarkan gosip, banyak bertanya dan mensia-siakan harta.

Yang dimaksudkan dengan derhaka adalah apa sahaja perbuatan yang bertentang dengan berbuat baik danihsan. Antaranya, meninggikan suara, menggunakan perkataan yang kasar, sinis dan menyinggung perasaan, tidak memenuhi permintaan mereka (selagi mana ia bukan sesuatu yang bertentangan secara jelas dengan syari‘at Islam) dan membiarkan mereka dalam keadaan memerlukan bantuan, sama ada dalam bentuk rohani atau jasmani. Seorang ibu yang menangis dan seorang ayah yang termenung dalam konteks berinteraksi dengan anak lazimnya adalah isyarat bahawa mereka telah diderhakai.

‘Abd Allah ibn ‘Umar radhiallahu ‘anhuma pernah menerangkan bahawa dosa-dosa terbesar ada sembilan, iaitu:

Mempersekutukan Allah, membunuh orang lain (tanpa hak), melarikan diri daripada pertempuran, memfitnah seorang wanita (dengan tuduhan zina), memakan riba’, memakan harta anak yatim, berbuat maksiat dalam masjid, menghinaibubapa dan (menyebabkan) ibubapa menangis disebabkan kederhakaan (anak kepada mereka berdua).

Ibu dikhususkan daripada ayah kerana lazimnya kita sebagai anak-anak lebih berani bertindak derhaka kepada ibu berbanding ayah. Sifat kewanitaan seorang ibu yang lemah lembut dan peranannya yang “hanya di rumah” menyebabkan sebahagian kita tidak menghormatinya, lantas berani bersikap derhaka kepadanya. Maka Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam memberi amaran khusus kepada kita berkenaan ibu kita, bahawa janganlah menderhakainya.

Kelima: Wajib Meminta Izin Ibubapa Sekalipun Dalam Urusan Agama.

Abu Sa‘id al-Khudri radhiallahu ‘anh berkata:

Sesungguhnya seorang lelaki dari Yaman telah berhijrah kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam (untuk berjihad) lalu baginda bertanya: “Adakah kamu mempunyai seseorang di Yaman?”

Dia menjawab: “Ibubapa aku.” Rasulullah bertanya: “Adakah mereka memberi izin kepada engkau?”

Dia menjawab: “Tidak.”

Rasulullah bersabda: “Kembalilah kepada mereka berdua dan mintalah izin dari mereka berdua.

Jika mereka mengizinkan engkau maka berjihadlah akan tetapi (jika tidak)

maka berbuat baiklah kepada mereka berdua.”

Berkata al-Syaukani rahimahullah berkenaan hadis di atas:

Dalam hadis (di atas) terdapat petunjuk bahwa berbuat baik kepada ibubapa adalah lebih utama daripada berjihad. Manakala sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam Jika mereka mengizinkan engkau maka berjihadlah di dalamnya terkandung dalil bahawa wajib (hukumnya) meminta izin ibubapa di dalam urusan berjihad dan yang sedemikian adalah pendapat jumhur ulama’. Dan mereka memutuskan dengan keharaman berjihad jika kedua-duanya atau salah seorang daripada mereka menegah (anak mereka) daripada berjihad kerana sesungguhnya berbuat baik kepada ibubapa adalah fardhu ‘ain manakala jihad adalah fardhu kifayah. Akan tetapi apabila hukum jihad jatuh fardhu ‘ain maka tidak perlu meminta izin (daripada mereka berdua).

Perhatikan hadis di atas. Sekalipun keluar berjihad di jalan Allah adalah satu amalan yang amat penting kepada agama dan umat, lagi besar ganjaran kepada yang melakukannya, ia tetap tidak mengungguli amalan berbuat baik kepada ibubapa. Ini menunjukkan bahawa kita tetap perlu mendapatkan keizinan ibubapa sekalipun terhadap sesuatu aktiviti yang memiliki tujuan keagamaan.

Keenam: Kehinaan Anak Yang Tidak Berbuat Baik Kepada Ibubapa Yang Lanjut Umur.

Abu Hurairah radhiallahu ‘anh berkata, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda:

“Sungguh hina, sungguh hina, sungguh hina!”

Baginda ditanya: “Siapakah wahai Rasulullah (yang hina itu)?” Baginda menjawab:

Orang yang mendapati orang tuanya dalam keadaan tua, sama ada salah seorang atau kedua-duanya, kemudian dia tidak memasuki syurga.

Apabila ibubapa kita mencapai umur lanjut, lazimnya cabaran untuk berbuat baik kepada mereka menjadi lebih tinggi. Ini kerana umur yang lanjut selalunya sinonim dengan sifat yang lebih cerewet, celoteh yang pelbagai, kedegilan yang menjadi-jadi dan kesihatan yang semakin berkurang. Maka jika kita dapat bersabar dengan cabaran-cabaran yang kian bertambah ini, maka ia sebenarnya memudahkan lagi laluan ke syurga. Manakala jika kita tidak dapat bersabar, maka ia sebenarnya menyukarkan lagi laluan ke syurga.

Tidak berlebihan jika diumpamakan, berdasarkan hadis di atas, bahawa kita hendaklah memandang ibubapa yang sudah tua sebagai penjaga pintu syurga. Jika kita bersabar dan terus beristiqamah berbuat baikkepada ibubapa, maka mereka akan membuka pintu syurga kepada kita. Sebaliknya jika kita hilang sabar dan tidak berbuat baik kepada ibubapa, maka mereka akan menutup pintu syurga tersebut daripada kita.

Ibubapa yang sudah lanjut usianya juga telah mendapat perhatian di dalam al-Qur’an. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibubapa. Jika salah seorang dari keduanya,

atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu,

maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Uff”, dan janganlah engkau menengking (dan/atau) menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). [al-Isra 17:23]

Berkata al-Qurtubi rahimahullah berkenaan ayat di atas:

Firman Allah: “Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu”: Keadaan ketika umur lanjut diistimewakan kerana dalam keadaan demikian, ibubapa sangat memerlukan bakti anaknya. Ini disebabkan keadaan mereka telah berubah menjadi lemah dan tua renta. Oleh itu dalam keadaan sedemikian, Allah mewajibkan untuk memerhatikan ibubapa melebihi perintah sebelum masa tersebut. Dalam keadaan usia lanjut, ibubapa menjadi lemah sehingga memerlukan rawatan sebagaimana dahulunya ketika kanak-kanak, seorang anak juga memerlukan rawatan ibubapanya. Atas sebab inilah keadaan umur lanjut diistimewakan.

Selain itu, hidup bersama (antara anak dan ibubapanya) dalam jangka waktu yang lama adakalanya menyebabkan seorang anak merasa berat, bosan dan banyak mengeluh sehingga menampakkan kemarahan kepada ibubapanya (yang sudah lanjut umur), menunjukkan urat lehernya yang menegang atau bahkan mencaci keduanya. Ini semua berlaku lantaran kedekatan hubungan seorang anak yang tidak diimbangi dengan nilai agama yang baik. Sikap buruk yang paling ringan ialah mengeluarkan nafas mengeluh.

Justeru (dalam suasana seperti ini) Allah memerintah (kepada anak) untuk bersikap kepada ibubapanya dengan tutur kata yang mengandungi kemuliaan, bersih daripada semua kecacatan. Firman Allah: “…janganlah engkau berkata kepada mereka sekalipun perkataan “Uff”, maksudnya, janganlah berbicara dengan ibubapa dengan ucapan yang mengandung isyarat kemarahan, sekalipun sedikit. Mujahid berkata: “Ertinya, apabila kamu (seorang anak) melihat ibubapanya di usia lanjut membuang air besar dan air kecil di sebarangan tempat sepertimana yang pernah terjadi kepada kamu apabila kamu masih kecil, maka janganlah mengeluh dan berkata “Uff” kepada mereka.”

Firman Allah: “katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia”, yakni tutur kata yang halus dan sopan seperti “Wahai ayahku”, “Wahai ibuku”, tanpa menyebut namanya dan gelarannya. Ibn Baddah al-Tujaini berkata, aku bertanya kepada Sa‘id ibn Musayyab: “Semua jenis berbuat baik kepada ibubapa yang disebut dalam al-Qur’an telah aku fahami, kecuali firman Allah: “katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia”, apakah yang dimaksudkan dengan perkataan yang mulia?” Sa‘id ibn Musayyab menjawab: “Seperti ucapan seorang budak yang melakukan kesalahan di hadapan tuannya yang berperangai kasar lagi keras.”

Kesembilan: Anak Yang Berbuat Baik Kepada Ibubapanya Memiliki Darjat Yang Istimewa.

Usair bin Jabir berkata:

Biasanya ‘Umar al-Khaththab apabila datang pasukan (pejuang) bantuan daripada Yaman, dia akan bertanya kepada mereka sama ada di kalangan mereka ada seorang yang bernama Uwais bin ‘Amar. Sehingga ke satu ketika beliau bertemu dengan Uwais bin ‘Amar.

Lalu beliau bertanya: “Andakah Uwais bin ‘Amar?”

Orang itu menjawab: “Ya.”

‘Umar bertanya lagi: “Daripada Murod, kemudian daripada Qarn?”

“Ya” jawab orang tersebut.

‘Umar bertanya lagi: “Apakah anda memiliki belang (di badan) lalu kamu sembuh kecuali satu bahagian sebesar duit sedirham?”

Orang itu menjawab: “Ya.”

‘Umar bertanya lagi: “Adakah anda memiliki ibu?”

Orang itu menjawab: “Ya.”.

Lantas ‘Umar berkata, aku mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Akan datang kepada kalian Uwais bin ‘Amar bersama pasukan bantuan daripada Yaman. (Dia) daripada Murod, kemudian daripada Qarn. Dia dahulunya memiliki penyakit belang lalu telah sembuh daripadanya kecuali satu bahagian sebesar satu dirham. Dia memiliki seorang ibu yang dia selalu berbakti kepadanya. Seandainya dia bersumpah dengan nama Allah, nescaya Allah akan mengabulkan sumpahnya itu. Jika kamu mampu memintanya memohon ampun untuk kamu, maka lakukanlah.”

Berkata ‘Umar: “Mintakanlah ampun untuk aku.”

Maka Uwais meminta ampun untuk ‘Umar.

Demikianlah besarnya darjat seorang anak yang berbuat baik kepada ibunya sehingga jika dia bersumpah, nescaya sumpahnya dibenarkan oleh Allah. Jika dia meminta ampun kepada Allah untuk seseorang, nescaya Allah akan mengampunkan orang tersebut. Sebegitu besar darjatnya sehingga seorang sahabat yang mulia kedudukannya, yakni Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khaththab radhiallahu ‘anh, tidak melepaskan peluang untuk mencarinya dan memintanya untuk mendoakan keampunan untuk dirinya.

Hadis ini tidak terhad kepada Uwais bin ‘Amar, tetapi merangkumi sesiapa sahaja yang sentiasa beristiqamah berbuat baik kepada ibubapanya. Maka janganlah kita menganggap berbuat baik kepada ibubapa sebagai satu amalan yang lekeh atau rendah martabatnya. Sebaliknya hendaklah diketahui bahawa ia adalah sesuatu yang mampu mengangkat darjat kita ke maqam yang tinggi di sisi Allah dan manusia yang lain.

(sumber:http://hafizfirdaus.com/ebook/Ayah_Ibu/)

smoga bermanfaat…

🙂


2 Comments

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s